Monday, October 4, 2010

Teori Tun dan Puteri...

Sebelum aku meneruskan ngan teori aku ni, aku nak mintak maaf sebab tak boleh nak letak apa-apa gambar pasal Gunung Ledang ni. Entah kenapa, setiap kali aku nak amik gambar-gambar dari internet, setiap kali tu jugak le ada treat virus. Hmmm... Mistik ke...

Ok mari kita mulakan ngan teorinya...

Kita sedia maklum yang Sultan Mahmud Shah berkenankan Puteri Gunung Ledang sewaktu pemerintahannya. Baginda menghantar satu rombongan untuk meminang Puteri yang diketuai oleh Tun Tuah itu sendiri. Di waktu itu, Tun Tuah juga sudah lanjut usianya. Walaupun dengan susah payah, Tun Tuah tetap mengepalai rombongan itu kerana titah Sultah harus dijunjung. Apabila sampai di kaki Gunung Ledang, rombongan itu pun di suruh untuk berehat. Kata Tun Tuah, mereka akan bermalam di sini dan besok pagi baru lah mereka akan ke atas untuk bertemu Tuan Puteri.

Sewaktu rakan-rakan yang lain sibuk memasak, mengemas kawasan, mencari kayu api dan berehat, Tun Tuah mengambil kesempatan untuk berborak dengan Tun Mamat. Kata Tun Tuah, pekerjaan ini adalah kerja yang sia-sia. Katanya, mengikut 'tenungannya', Puteri Gunung Ledang tidak akan muncul kerana dia tidak berkehendakkan Sultan Melaka. Tun Mamat hanya terdiam mendengar kata-kata Tun Tuah ini. Balas Tun Tuah lagi, biarlah dia sahaja yang mencari jalan bagaimana untuk mengkhabar berita ini kepada Sultan. Kalau Tun bagitau yang mereka tak dapat jumpa Puteri, sure Sultan murka. Jadi beliau kena cari jalan untuk memberikan perkabaran yang gembira buat Sultan.

Setelah pagi hari, Tuan Tuah menyuruh rombongannya tunggu sahaja di kaki Gunung Ledang; biar dia dan Tun Mamat sahaja yang akan naik puncak bertemu Puteri. Setelah beberapa lama mendaki, Tun Tuah mengajak Tun Mamat turun semula. Tun Mamat berasa pelik, kerana mereka baru sahaja mendaki, dah nak kena turun pula. Tun Tuah banyak berdiam diri, mungkin sedang nak fikir apa nak bagi tau Sultan.

Dipendekkan cerita, mereka semua selamat sampai di Melaka. Tun Tuah mengadap sultan dan memberitahu mengenai perjumpaannya dengan Puteri Gunung Ledang. Tun Tuah tidak memberitahu Sultan yang dia sebetulnya tidak berjumpa Puteri pun. Dan di situ lah Tun Tuah memberitahu Sultan mengenai syarat-syarat hebat dari Puteri itu. Tun Tuah tahu yang Puteri tidak menginginkan Sultan, sebab tu lah Tun Tuah bagi syarat-syarat tu semua supaya Sultan tak boleh mendapatkan Puteri Gunung Ledang. Nak pulak syarat terkahir tu... semangkok darah anakandanya Tun Ahmad... Di situlah Sultan Mahmud terdiam. Dan terdiam jugalah impiannya hendak mengisterikan Puteri Gunung Ledang.

Ada juga kita dengar yang Puteri Gunung Ledang adalah Puteri di Tanah Jawa seperti filem dibintangi Tiara dan M.Nasir tu. Puteri adalah kasih Tun Tuah dan tiada siapa yang boleh menghalangnya. Tu pasal la waima Sultan Melaka pun tak akan dapat Puteri Gunung Ledang.

Teori ni adalah telahan aku saja selepas baca beberapa buku sejarah. Apa pun, kita harus hormat pada sejarah dan jangan senang-senang nak menolak sejarah walaupun terdapat unsur mitos atau lagenda di dalamnya.