Tuesday, November 8, 2011

Allah Menguji Diri Kita

Sedang kita terfikir bahawa diri kita ini sedang sihat walafiat, sedang bersemangat untuk melakukan sebarang kerja, ketika itulah kita dicuit dengan pelbagai ujian dan dugaan yang datangnya dari Allah S.W.T. Bagi aku, ini adalah tanda bahawa diri kita mendapat perhatian dariNya; bahawa Allah S.W.T masih memberikan peluang untuk kita berdoa dan beribadah kepadaNya.

Persoalannya sekarang, adakah kita redha dan menerima dugaan itu dengan hati terbuka? Adakah kita bijak menanganinya? Atau adakah kita mengalah dan terus kecundang untuk masa hadapan?

Dari sudut saintifik, mereka menafsirkannya sebagai 'brain fatique' atau dalam Bahasa Malaysia - 'kepenatan otak'. Ini adalah salah satu dugaan dari Allah SWT, di kala kita merasakan kita sudah cukup kuat untuk melakukan kerja seharian. Aku juga tak ketinggalan dalam hal ini. Kadang kala aku merasakan badan ini macam tak cukup sihat dan sukar fokus dalam tugas di pejabat. Kalau dah badan penat, macam mana nak melayan karenah anak yang hanya beberapa jam bertemu di rumah?

Kadang kala aku sering bersedih pilu dan menitiskan air mata kerana melihat anak-anak ku yang dahagakan kasih ayahnya ini. Aku perlu sentiasa 'bersama' mereka. Mungkin ada yang mengatakan, kena la berenggang walaupun sekejap. Boleh tu boleh... Tapi aku sering kali merasanya aku perlu meluangkan lebih banyak masa untuk mereka.

Jadi adakah ini disebabkan oleh 'brain fatique'? Bukankah aku selalu berkata, kita mampu mengawal diri kita sendiri. Jadi kenapa pula aku harus kalah pada sintom ini? Memang ianya dugaan Allah, tetapi bukan kah Allah juga menyuruh kita mencari nikmatNya yang tersembunyi itu?

Apa yang aku lihat, di dalam bulan mulia di mana lebih 3 juta umat Islam dipanggil ke Tanah Suci, aku juga merasa dekat dengan rumah Allah itu. Betapa tenangnya jiwa mereka yang sedang beribadah di sana. Maka itu jugalah yang harus aku lakukan...

Perahu berolek kerana dayungnya hilang. Jiwa tak tenang kerana bergolaknya rasa. Aku berdoa semoga semangatku kembali kental. Semoga kerja seharian ku dapat dilaksanakan. Semoga anak-anak dan isteri terus tersenyum melihatku pulang. Semoga nanti aku lebih berjaya dengan apa yang aku mampu lakukan.

Tuesday, November 1, 2011

Strategi Lautan Biru

Pada tahun 2009, aku terpandang sebuah buku di MPH bertajuk Blue Ocean Strategy. Isi kandungannya nampak menarik, tetapi entah kenapa aku belum 'sampai seru' nak membeli buku tu. Setahun kemudian, juga di kedai buku yang sama, aku terlihat pula buku bertajuk Strategi Lautan Biru (SLB); buku alih bahasa yang sedang mendapat perhatian dari semua pihak. Pun aku masih belum terpaut hati untuk mendapatkan buku itu.

Kini pada tahun 2011, aku terpanggil pula untuk mengetahui lebih lanjut mengenai SLB ini. Semuanya bermula dengan ajakan tidak langsung dari seorang sahabat yang mahukan khidmat diriku ini untuk syarikatnya pada tahun 2013. Wah! Aku dah ada tawaran kerja untuk 2 tahun lagi tu! Kata kawan ku itu lagi, beliau nak hantar aku ke seminar dan latihan mengenai SLB ini supaya aku dapat mengetahui mengenainya dan mengajar program itu kepada orang lain pula.

Lalu aku pun melayari sesawang di dalam masa lewa ku, untuk mencari info mengenai SLB ini. Memang banyak! Tak sangka pula kebanyakan organisasi kerajaan dan swasta sedang mula 'menjelajah' SLB ini.

Lautan merujuk kepada pasaran ataupun industri. Lautan Biru adalah satu anologi yang menggambarkan potensi ruang pasaran yang begitu besar yang belum diterokai. Ye la... laut tu kan luas! Manakala strategi lautan biru merupakan satu pendekatan yang sistematik untuk mencipta ruang pasaran yang tidak perlu bersaing sebaliknya menjadi pesaing tidak relevan.

Berbeza dengan lautan biru, lautan merah pula merujuk kepada satu pasaran yang di dalamnya penuh dengan persaingan dari individu atau industri yang menghasilkan perkhidmatan dan produk yang sama dan mereka saling ' membunuh ' antara satu sama lain.

Konsep SLB di perkenalkan oleh W.Chan Kim dan Renee Maurborgne melalui buku penulisan mereka bertajuk Blue Ocean Strategy.
SLB menjelaskan cara mencipta ruang pasaran baru tanpa pesaing. Satu-satunya cara untuk kekal kompetitif adalah berhenti berusaha melawan pesaing. SLB juga dianggap sebagai konsep dalam merebut nilai pembeli dan kos rendah untuk mencipta ruang pasaran baru. SLB bukan mengenai ‘mematikan’ persaingan, ia adalah mengenai membuat pertandingan dalam perniagaan, bukan menghapuskan pesaing perniagaan. Lagipun kita juga memang tak digalakkan 'main kotor' dalam apa jua yang kita lakukan.

Usahawan di Malaysia digalakkan untuk menggunakan konsep ini dalam strategi perniagaan mereka, tidak kira samada perniagaan mereka berskala kecil mahupun besar, konsep ini mampu untuk mengekalkan mereka di dalam bidang perniagaan samada mereka masih baru ataupun telah lama.

Antara kursus berkaitan dengan SLB ini adalah seperti berikut. Hmmmm... mungkin suatu hari nanti aku mampu untuk memberikan kursus2 ini kepada orang lain. Its just a question of when?

1. Kursus Pemikiran Strategik

2. Kursus Pemikiran Kreatif

3. Kursus Pemasaran Kreatif

4. Kursus Pengurusan Kreatif

5. Kursus Perancangan dan Pengurusan Strategik