Tuesday, November 8, 2011

Allah Menguji Diri Kita

Sedang kita terfikir bahawa diri kita ini sedang sihat walafiat, sedang bersemangat untuk melakukan sebarang kerja, ketika itulah kita dicuit dengan pelbagai ujian dan dugaan yang datangnya dari Allah S.W.T. Bagi aku, ini adalah tanda bahawa diri kita mendapat perhatian dariNya; bahawa Allah S.W.T masih memberikan peluang untuk kita berdoa dan beribadah kepadaNya.

Persoalannya sekarang, adakah kita redha dan menerima dugaan itu dengan hati terbuka? Adakah kita bijak menanganinya? Atau adakah kita mengalah dan terus kecundang untuk masa hadapan?

Dari sudut saintifik, mereka menafsirkannya sebagai 'brain fatique' atau dalam Bahasa Malaysia - 'kepenatan otak'. Ini adalah salah satu dugaan dari Allah SWT, di kala kita merasakan kita sudah cukup kuat untuk melakukan kerja seharian. Aku juga tak ketinggalan dalam hal ini. Kadang kala aku merasakan badan ini macam tak cukup sihat dan sukar fokus dalam tugas di pejabat. Kalau dah badan penat, macam mana nak melayan karenah anak yang hanya beberapa jam bertemu di rumah?

Kadang kala aku sering bersedih pilu dan menitiskan air mata kerana melihat anak-anak ku yang dahagakan kasih ayahnya ini. Aku perlu sentiasa 'bersama' mereka. Mungkin ada yang mengatakan, kena la berenggang walaupun sekejap. Boleh tu boleh... Tapi aku sering kali merasanya aku perlu meluangkan lebih banyak masa untuk mereka.

Jadi adakah ini disebabkan oleh 'brain fatique'? Bukankah aku selalu berkata, kita mampu mengawal diri kita sendiri. Jadi kenapa pula aku harus kalah pada sintom ini? Memang ianya dugaan Allah, tetapi bukan kah Allah juga menyuruh kita mencari nikmatNya yang tersembunyi itu?

Apa yang aku lihat, di dalam bulan mulia di mana lebih 3 juta umat Islam dipanggil ke Tanah Suci, aku juga merasa dekat dengan rumah Allah itu. Betapa tenangnya jiwa mereka yang sedang beribadah di sana. Maka itu jugalah yang harus aku lakukan...

Perahu berolek kerana dayungnya hilang. Jiwa tak tenang kerana bergolaknya rasa. Aku berdoa semoga semangatku kembali kental. Semoga kerja seharian ku dapat dilaksanakan. Semoga anak-anak dan isteri terus tersenyum melihatku pulang. Semoga nanti aku lebih berjaya dengan apa yang aku mampu lakukan.

No comments:

Post a Comment